Janda ditiduri along, bekas suami gagal bayar hutang

Kuala Lumpur: Nyata ia pengorbanan besar yang dibuat seorang janda apabila rela dirinya ditiduri semata-mata bagi memastikan bekas suaminya dibebaskan sekumpulan penculik.

Wanita yang juga seorang peniaga berusia 41 tahun itu dilaporkan berbuat demikian selepas gagal menyediakan wang tebusan RM10,000 yang diminta lima penjenayah terbabit.

Sumber polis berkata, bekas suami wanita itu yang berusia lewat 40-an diculik pada 10 Jun lalu selepas dia didakwa menipu lima lelaki terbabit berkaitan penjualan permit warga asing. “Natijahnya, bekas isteri lelaki itu diganggu kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan wang tebusan RM10,000 bagi membebaskannya,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit didatangi lima lelaki berusia lewat 20-an ketika sibuk berniaga di Bukit Jalil, di sini, jam 4 petang, 10 Jun lalu.

“Kumpulan terbabit turut membawa bekas suaminya bersama sebelum mendakwa tidak berpuas hati dengan lelaki itu kerana dikatakan menipu mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, bekas suami wanita itu kemudian dibawa semula bersama kumpulan penculik terbabit menaiki Proton Waja berwarna biru.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 12.30 tengah hari keesokan harinya, wanita itu dihubungi seorang lelaki dan meminta RM10,000 sebagai wang tebusan jika mahu bekas suaminya dibebaskan.

“Mangsa memberitahu dia hanya memiliki RM1,100 dan suspek yang menghubunginya berkata dia setuju menerima jumlah berkenaan, namun untuk ‘mencukupkan’ jumlah RM10,000 yang dituntut, mangsa perlu menyerahkan tubuhnya.

“Suspek memberitahu, persetujuan mangsa mengadakan hubungan seks bukan saja sebagai sebahagian bayaran wang tebusan, tapi juga bayaran bagi melunaskan hutang bekas suaminya itu,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit kemudian diarahkan bertemu di sebuah pasar di Jalan Klang Lama dan diberi amaran agar merahsiakan perkara itu jika tidak mahu bekas suaminya itu ditembak hingga mati.

Sumber itu berkata, bersimpati dengan nasib bekas suaminya wanita itu mengikut arahan diberikan dengan pergi bersendirian ke lokasi diarahkan.

“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, mangsa menemui lima lelaki sebelum dibawa ke sebuah rumah di Pantai Dalam dan dipertemukan dengan bekas suaminya yang dijadikan tahanan.

“Mangsa dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang daripada ahli kumpulan terbabit selain diminta menyerahkan RM1,100 sebagaimana dijanjikan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berakhir di situ kerana mangsa masih diganggu dan diugut biarpun sudah menyerahkan sejumlah wang dan tubuhnya kepada penjenayah terbabit.

“Ini kerana mangsa dihubungi semula kumpulan terbabit kira-kira jam 3 pagi, 12 Jun lalu sebelum diarahkan membayar sejumlah lagi wang atau keluarga dan bekas suaminya akan dibunuh jika dia gagal berbuat demikian.

“Tidak tahan dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari sama,” katanya.

Sumber itu berkata, bekas suami mangsa sudah dibebaskan kumpulan penjenayah terbabit.