KUALA
LUMPUR: Pelakon Lydiawati menjelaskan tindakannya memuat naik video
dirinya memukul seorang wanita 'pengkid' di Facebook sehingga menjadi
viral kerana ingin memberi pengajaran kepada semua yang menontonnya.
Enggan menjelaskan punca sebenar dia bertindak sedemikian, Lydiawati
atau nama sebenarnya Salina Saimon, 50, berkata, hampir dua tahun dia
mengalami tekanan perasaan gara-gara wanita terbabit mengganggu hidupnya
dan keluarga. "Saya terpaksa bertindak begitu demi keselamatan diri dan
anak-anak serta keluarga saya. Kerana wanita itu, saya mengalami
tekanan emosi dan trauma. "Lebih teruk lagi, saya berasa tidak selamat
di rumah sendiri, lebih-lebih lagi anak-anak ditinggalkan ketika saya ke
set penggambaran. Sebab itu saya muat naik video ini untuk memberi
pengajaran kepada semua," katanya menerusi status yang dimuat naik ke
akaun Facebook miliknya, awal pagi tadi. Pada pagi tadi, pelakon
berkenaan memuat naik dua video memaparkan dirinya sedang memukul dan
menendang seorang wanita 'pengkid'. Menerusi video itu, Lydiawati
dilihat bengang dengan tindakan wanita terbabit yang kononya mengganggu
privasi beliau sehingga membuatkannya trauma. Kedengaran juga wanita itu
seperti meminta maaf daripadanya. Dalam pada itu, Lydiawati juga
menyifatkan wanita itu seperti bertopengkan binatang kerana kerap
mengganggunya, malah beberapa artis lain juga pernah menjadi mangsa
individu sama. Ekoran kejadian itu, Lydiawati membuat laporan polis
supaya dirinya tidak menjadi mangsa dan berharap agar perkara seperti
itu tidak akan berulang. Sementara itu, pelakon filem Sumpahan Kum-Kum
(2012) itu juga memohon maaf sekiranya ada pihak yang kurang senang
dengan tindakannya terhadap wanita itu. "Saya memohon maaf dengan apa
yang berlaku. Sebenarnya, bukannya saya mahu megah atau bangga dengan
kejadian yang berlaku ini. Saya juga bukan mahu minta simpati daripada
mana-mana pihak. "Cuma wanita itu sudah mencabar kesabaran saya.
Terpulang pada semua jika ada yang mahu mengkritik. Saya menerimanya
dengan hati yang terbuka," ujarnya.