Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama
dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah
masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta
bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.
Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35
tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya,
apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga
bekas rakan sekolahnya dan suami.
Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran
agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya
berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda
terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali
terlanjur.
Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika
berdua-duaan dengan duda itu baru-baru ini dan mereka dilaporkan
mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai
yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.
Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.
Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.
Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi
tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak
angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.
“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika
perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka
semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan
menagih simpati.
“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana
suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta
membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk
menguruskan perkahwinan itu.