Gosip panas!! Amar pelik tindakan Izreen



Pertikaian yang timbul terhadap lakonannya dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak akan mematahkan semangat Amar Baharin, 30, untuk terus mencari peluang lain pada masa akan datang.

Amar berkata, dia banyak mempelajari perkara baru khususnya teknik lakonan dalam pementasan teater terbabit yang berakhir Ahad lalu.

“Sebagai pelakon, pengalaman itu sangat bernilai dan saya sangat hargai.

“Jadi tidak mungkin dengan kritikan satu pihak saja saya perlu patah semangat. Sebaliknya saya terima secara positif dan mahu berlakon lebih banyak teater jika ada peluang,” katanya.

Amar berkata, dia juga enggan memikirkan isu kritikan lakonannya oleh pelakon Izreen Azminda baru-baru ini kerana pelik dengan tujuan di sebalik tindakan aktres itu.

“Semua orang ada pendapat, tapi belum tentu pengalaman seseorang itu betul untuk saya ambil sepenuhnya, tapi saya terbuka menerima pendapat orang.

“Cuma saya tertanya-tanya adakah pendapat itu telus berlandaskan pandangan dia sebagai penonton atau disebabkan unsur lain (peribadi),” katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan Izreen sebelum ini.

Bagi Amar, kritikan secara terbuka daripada Izreen di media sosial bukanlah cara yang sesuai untuk individu yang dianggap rakan.

“Pada saya kalau kawan kita kurang bagus, kita akan tegur secara terus dan peribadi bukan memilih medium umum seperti Instagram untuk menegur.

“Sebagai contoh, pengarah Rashid Sibir menegur lakonan saya dalam teater itu menerusi mesej. Banyak yang ditegurnya dan saya terima.

“Saya tidak terkilan tapi pelik apa tujuan dia menegur dengan cara begitu? Tapi saya OK dan terbuka saja. Biasalah semua orang ada pendapat,” katanya yang kini terbabit dalam penggambaran siri Tersuka Tanpa Sengaja untuk Astro Ria.