KEPALA BATAS - "Saya hanya ikut dia (teman lelaki), saya tak tahu apa semua ni," dalih seorang remaja wanita ketika ditahan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Bakau Tua dan Kuala Muda, Penaga awal pagi semalam.
Ketika ditahan remaja berusia berusia 16 tahun itu juga cuba meminta simpati agar dia dilepaskan, namun selepas diperiksa pegawai AADK menemui beberapa barang yang disyaki dadah dalam beg miliknya.
Remaja yang masih bersekolah itu antara tiga wanita dan 41 lelaki yang ditahan pada operasi berkenaan.
Pengarah AADK Negeri, S Muniamah berkata, operasi itu disertai 40 anggota dan pegawai dari AADK Seberang Perai Utara, AADK negeri serta pegawai dari Ibu Pejabat AADK Putrajaya.
“Operasi diadakan bermula jam 5.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 11 pagi dengan memfokuskan sarang penagihan dadah di sekitar kawasan jalan yang dipenuhi hutan nipah menuju ke Pasar Bisik Kuala Muda.
“Kawasan ini dikenal pasti dijadikan port penagih untuk melepaskan gian," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dalam serbuan itu, terdapat juga seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam sungai bagi mengelakkan ditahan.
"Ketika itu, lelaki berkenaan menunggang motosikal, namun sebaik melihat pegawai ADDK, dia terus meninggalkan motosikalnya dan berlari ke arah sungai.
"Lelaki berusia 30 tahun itu melarikan diri selepas berjaya menyeberangi ke seberang sungai," katanya.
Katanya, selain itu, pihaknya turut melakukan serbuan di beberapa rumah di kampung berhampiran.
"Kesemua yang ditahan berumur antara 16 tahun sehingga 57 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 6(2) serta Seksyen 15(1)," katanya.
Dalam pada itu, Muniamah berkata, kawasan Kuala Muda dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Bagi membanteras jenayah ini, pihak AADK akan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis selain melakukan operasi bersepadu dengan lebih kerap.
"Maklumat daripada orang ramai juga penting dalam membanteras masalah ini," katanya.