Jabatan siasat guru didakwa muat naik video lucah


Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang guru di daerah ini didakwa mewujudkan kumpulan WhatsApp dan memuat naik video lucah untuk tatapan anggota kumpulan itu.

Pengarahnya Datuk Jame Alip berkata jabatan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap guru itu jika terbukti melakukan perbuatan tidak bermoral itu kerana ia jelas mencemarkan nama baik jabatan dan profesion guru.

"Kami telah mengenal pasti guru terbabit, bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat siasatan.

"Sebagai seorang guru, perbuatan tidak bermoral dan melanggar etika sebagai seorang pendidik tidak sepatutnya berlaku," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan itu, semasa melakukan lawatan mengejut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar di Sandakan semalam.
Beliau melakukan lawatan mengejut di beberapa sekolah berasrama di daerah ini bagi meninjau tahap kebersihan persekitaran dewan makan, dapur dan makanan disediakan pengendali makanan.

Beliau yang berpuas hati dengan tahap kebersihan di sekolah berkenaan, menasihatkan pengendali makanan asrama sekolah agar mengambil inisiatif menambah stok bahan mentah makanan sekurang-kurangnya untuk tiga hari sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan.

Katanya pengendali makanan asrama perlu sentiasa memastikan aspek kebersihan berada pada tahap terbaik bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Jame mengingatkan bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan pengendali makanan yang mengabaikan aspek kebersihan dan kualiti serta khasiat makanan untuk pelajar.

- Bernama