Gambar Hiasan
TAMPIN - Seorang remaja nekad
membuat laporan polis yang mendakwa dirinya dirogol oleh seorang senior di
dalam tandas sebuah sekolah di Gemenceh kerana tidak tahan dengan ugutan yang
diterima dari seniornya.
Remaja terbabit yang berusia 14
tahun membuat laporan di Balai Polis Gemenceh pada Selasa lalu dengan berkata
dia dirogol tiga kali pada Mac lalu.
Mangsa bertindak membuat laporan
polis kerana gusar dia sering menjadi tempat melampias nafsu buas seniornya
sendiri.
Memetik laporan dari sumber Sinar
Harian, semasa kejadian pelajar berkenaan berada di kantin sekolah kira-kira
jam 8.30 malam. Pelajar terbabit yang duduk di asrama sekolah menerima pesanan
WhatsApp dari suspek yang mengajaknya berjumpa.
“Suspek merupakan pelajar berusia 17
tahun dan bakal mengambil peperiksaan SPM tahun ini mengugut mangsa jika enggan
bertemu dengannya, mangsa akan menerima balasan buruk.
“Mangsa yang ketakutan terpaksa
berjumpa dengan suspek di tandas lelaki dan dirogol suspek sebanyak tiga kali
pada malam berkenaan antara jam 8.45 malam hingga 9 malam,” katanya.
Selepas kejadian, suspek mengugut
mangsa supaya tidak memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian. Menurut sumber
terbabit, mangsa yang takut terpaksa akur dengan permintaan suspek namun suspek
bertindak biadap apabila merogol mangsa berulang kali pada Mei dan Jun lalu.
“Mangsa yang pada mulanya takut dan
malu akhirnya nekad membuat laporan polis berhubung kejadian rogol berkenaan
kerana tidak mahu terus menerus diugut.", katanya.
Ketua Polis Daerah Tampin,
Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian. Beliau berkata mangsa
telah dihantar ke Hospital Tampin bagi pemeriksaan lanjut.
“Suspek telah ditangkap dan direman
selama tujuh hari bagi siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376
Kanun Keseksaan," katanya