Padah ajak isteri orang bersetubuh...

KUALA LUMPUR - Gara-gara mengugut isteri orang supaya melakukan hubungan seks dengannya, seorang pekerja kilang dihukum penjara 20 hari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhi hukuman itu terhadap Kwang Yee Shean, 36, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut seorang juruhias berusia 33 tahun, di sebuah premis perniagaan di Sentul di sini, pukul 10 pagi, 23 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 9 Jun lepas, dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Menurut fakta kes, Yee Shean telah menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan aplikasi Wechat kepada mangsa dan meminta wanita itu menemuinya untuk melakukan hubungan seks, tetapi mangsa menolak.

Yee Shean mengugut akan menghantar SMS melalui aplikasi Facebook Messenger memberitahu kepada semua orang bahawa mangsa adalah pelacur dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi mangsa melalui nombor telefon yang disebarkan tertuduh.

Tertuduh juga mengugut akan menyebarkan rahsia mangsa dan akan melakukan sesuatu yang buruk kepada wanita itu.

Ketika rayuan, Kwang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga selain telah menyesal dengan perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh cuba menjatuhkan harga diri dan memalukan mangsa. - Bernama