Pakai telekung tanpa seluar dalam ketika dicekup 'beromen'

SEORANG remaja perempuan yang memakai telekung
kelihatan terpinga-pinga bersama pasangannya selepas
diserbu pegawai pencegah maksiat di sebuah bilik hotel di Kuantan semalam.
KUANTAN - Berpura-pura memakai telekung seakan-akan baru selesai menunaikan solat Subuh.

Itu lakonan seorang remaja perempuan ketika membuka pintu bilik hotel bagi mengelabui mata pihak berkuasa yang menjalankan pemeriksaan dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel murah di Jalan Sekilau di sini semalam.

Bagaimanapun taktik itu gagal memperdaya anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) apabila remaja perempuan tersebut didapati terlupa memakai kain sarung manakala pasangannya yang bukan muhrim dijumpai menyorok di atas almari dalam keadaan tanpa pakaian di bilik tersebut.

Remaja perempuan berusia 21 tahun itu kemudian ditahan bersama pasangannya yang berusia 20-an kerana dipercayai berkhalwat di dalam bilik hotel berkenaan.

Dalam serbuan pukul 6.30 pagi yang turut disertai wartawan, para pegawai penguat kuasa JAIP menolak alasan remaja lelaki terbabit yang memasuki bilik hotel tersebut untuk menghantar seterika.

"Kami tidak percaya kamu menghantar seterika, kalaupun betul kamu berbuat begitu mengapa perlu berdua-duaan dan berada dalam keadaan tidak menutup aurat," kata salah seorang pegawai JAIP di tempat kejadian.

Ekoran gagal menjawab pelbagai soalan anggota penguat kuasa JAIP, pasangan terbabit akhirnya 'menyerah diri' sebelum dibawa ke pejabat JAIP Kuantan untuk siasatan lanjut dan kaunseling.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIP, Badaruddin Ahmad Bustami berkata, seramai 40 individu berumur dalam lingkungan 20-an ditangkap kerana dipercayai berkhalwat di dalam bilik hotel murah.

Menurutnya, operasi sempena sambutan Ambang Merdeka itu membabitkan pemeriksaan enam buah hotel selama dua jam bermula seawal 6 pagi.
"Kami mendapati kebanyakan mereka yang ditangkap telah menginap di hotel selepas bersiar-siar sehingga awal pagi," katanya.

Berikutan itu, beliau menyatakan, setiap individu terlibat akan diambil keterangan dan akan didakwa di mahkamah.