BATU GAJAH: Akibat terpesona dengan ayat-ayat cinta dan janji manis
seorang lelaki asing di laman sosial, seorang guru Tadika sanggup
menyerahkan RM62,000 kepada lelaki berkenaan. Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial Perak, Supt Lee Ewe Kiang, berkata guru itu yang juga
ibu tunggal berumur 36 tahun hanya berkenalan dengan individu terbabit
baru enam bulan. "Dalam tempoh perkenalan itu, mereka tidak pernah
berjumpa dan perhubungan mereka bertambah erat hanya melalui perbualan
di laman sosial. "Setelah mangsa terjerat dengan cinta, suspek mula
menagih simpati dan meminta pelbagai pertolongan kewangan daripada
mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Batu Gajah hari ini. Beliau berkata, wanita berkenaan akhirnya bersetuju
untuk memasukkan wang sebanyak RM62,000 ke dalam akaun suspek secara
berperingkat. Lee berkata, setelah menyedari dirinya ditipu, guru
berkenaan yang tinggal di Slim River membuat laporan polis. Beliau
berkata, hasil siasatan dan risikan polis Bahagian Siasatan Jenayah
Komersial IPD Batu Gajah, seorang wanita berumur 44 tahun ditangkap di
sebuah pasar raya di Petaling Jaya, Selangor pada 3 Mac lalu kerana
dipercayai berperanan sebagai keldai akaun kepada sindiket berkenaan.
"Susulan tangkapan itu, esoknya seorang penuntut kolej swasta serta lima
lelaki warga Nigeria lain ditangkap pula di Pangsapuri Flora Damansara,
Petaling Jaya, Selangor. "Pihak polis turut merampas pelbagai barangan
di dalam rumah itu termasuk lima komputer riba, lima telefon bimbit, dua
unit WiFi dan 21 keping kad sim," katanya. Beliau berkata, semua suspek
direman selama tujuh hari dan kemudian dihantar ke Ibu Pejabat Polis
Daerah Seberang Perai kerana turut terbabit dengan kes lain di Pulau
Pinang. Lee berkata, semua mereka yang berumur antara 24 hingga 37 tahun
itu dikesan menggunakan visa pelajar untuk memasuki negara ini kononnya
untuk menimba ilmu pengetahuan. "Sindiket yang melakukan kegiatan sejak
dua tahun lalu itu mencari mangsa secara rawak di laman sosial dengan
menggunakan profil palsu dan menyusun ayat-ayat cinta termasuk mahu
menjadikan mangsa sebagai pasangan hidup mereka melalui skrip yang sudah
direka," katanya. Beliau berkata, sebanyak 134 kes cinta palsu siber
dilapor di Perak tahun lepas dengan jumlah kerugian RM2.2 juta serta 38
orang ditangkap yang 11 daripada mereka adalah warga asing. "Manakala
sehingga Februari tahun ini, sebanyak 34 kes penipuan cinta siber dengan
jumlah kerugian RM1.2 juta dan 11 tangkapan berjaya dilakukan,"
katanya. - BERNAMA