KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor pernah bertanya kepada suaminya,
Datuk Seri Najib Razak, mengapa ambil keputusan untuk melaksanakan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun lalu.
"Saya pernah tanya kenapa buat GST, nanti orang (rakyat) marah. Dia
kata, dia mahu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dan
negara. Dia tidak mahu menjadi pemimpin populis," kata isteri Perdana
Menteri, lapor Malaysian Digest.
Rosmah menegaskan, keputusan Najib melaksanakan GST adalah bersebab dan untuk kebaikan rakyat dan negara.
"Beliau buat sesuatu itu ada sebabnya. Mujur kita ada GST, dengan harga
minyak jatuh dan (kalau) tiada GST, lagi susah," katanya.
Tambahnya lagi, Najib sentiasa berhempas pulas membangunkan negara dan
tidak pernah berhenti memikirkan apa lagi yang mahu dilakukan agar
rakyat dapat hidup lebih aman dan mendapat rezeki yang lebih.