Cuaca Panas Melampau, Raja Bomoh Adakan Ritual Pecahkan Tembikai | KUALA LUMPUR – Individu yang mengelar dirinya sebagai Raja Bomoh Malaysia sekali lagi mengadakan ritual ‘pelik’ dengan mengunakan buah tembikai agar fenomena panas melampau yang sedang melanda negara dapat dipulihkan.
Dalam ritual yang diadakan di ibukota
pada Isnin, individu yang dikenali sebagai Datuk Mahaguru Ibrahim Mat
Zin itu bersama empat orang pengikutnya turut membacakan surah Yassin
dan berdoa sebelum memecahkan lima biji buah tembikai sebagai simbolik
untuk menyejukkan badan lapor SuaraTv.
“Ayat Yassin dan ayat Nabi Yunus yang
dibaca (tadi) adalah merupakan petua orang zaman dahulu (dan) buah
tembikai (sebagai simbolik) untuk menyejukkan badan, bumi dan udara
supaya (fenomena) panas yang berlaku dapat dipulihkan, semoga (dengan)
petua ini dapat menyejukkan udara di Malaysia.
“Kami kumpulan Datuk Ibrahim Raja
Bomoh Sedunia berdoa dengan anak muridnya untuk menyelamatkan
(masyarakat) berbilang kaum dan bangsa agar cuaca panas dapat
dikurangkan dengan izin Allah” ujarnya ketika ritual tersebut diadakan.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum
ini meramalkan cuaca panas dan kering ini akan berakhir pada Mei atau
Jun, dengan suhu dijangka paling panas esok kerana fenomena ekuinoks.
Ekoran daripada itu Menteri Sumber
Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata,
kementeriannya telah mengemukakan cadangan dan garis panduan bagi
menghadapi cuaca panas melampau kepada Kabinet.
Ia membabitkan tindakan yang perlu
diambil merangkumi keperluan untuk menutup sekolah, catuan air,
pembenihan awan dan aspek kesihatan.
Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan sebelum ini telah mengharamkan upacara pembomohan yang dilakukan Ibrahim.
April lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri
Perak turut memutuskan dalam mesyuaratnya untuk mewartakan ritual bomoh
kontroversi itu sebagai sesat dan haram.