Gadis 15 Tahun Diperkosa sahabat ayah sendiri

foto hiasan


 KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh kontrak kerana merogol adik
rakannya, dia dihukum penjara 11 tahun dan dikenakan dua sebatan oleh
Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.



Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap tertuduh, Muhammad
Luqman Jusoh, 22, selepas didapati bersalah pada akhir perbicaraan penuh
kes berkenaan.



Beliau turut mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh
didapati bersalah pada keputusan awal kes pada 18 Januari lalu.



Tertuduh dari Kampung Wakaf Stan, di sini, didakwa merogol mangsa yang
berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Kampung Binjai, Jalan Bukit
Marak, di sini, pada jam 3 pagi, penghujung Disember 2013.



Terdahulu, peguam, Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim memohon hukuman tertuduh
diringankan kerana faktor usia yang masih muda dan penyesalan serta
keinsafan yang ditunjukkan tertuduh.



Sebaliknya, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias memohon
hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh dan meminta mahkamah supaya
tidak terlalu simpati dengan usia tertuduh.



“Kepentingan masyarakat perlu diutamakan dan kerana perbuatan tertuduh
sudah merosakkan masa depan seorang remaja perempuan. Masyarakat
terutama wanita memerlukan perlindungan daripada kes jenayah seperti
ini,” katanya.



Sebelumnya, laporan sosial tertuduh dikemukakan kerana alasan pesalah muda dan ketika kejadian dia berusia 19 tahun.



Dalam laporan itu, tertuduh yang masih bujang digambarkan berasal dari
keluarga kurang mampu dan pernah melakukan pelbagai pekerjaan untuk
menyara kehidupannya.

Tertuduh digari polis dan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa untuk menjalani hukuman yang diputuskan.