Marsha Milan Londoh |
Babak rogol itu sendiri harus dilakukan dengan sempurna supaya tidak kelihatan seperti dilakukan secara keterlaluan.
Mungkin inilah yang difikirkan oleh Marsha Milan apabila menjadi mangsa perkosa dalam filem terbarunya, Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.
Bagi Marsha, dia tidak ada masalah untuk melakonkan adegan itu cuma yang dibimbangi adalah kemungkinan berlakunya kontroversi kerana melakukan aksi yang agak panas itu.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan babak terbabit kerana, ia adalah lakonan semata-mata.
“Sebelum penggambaran pengarah ada bertanyakan sama ada saya selesa atau tidak untuk membawa watak terbabit.
Cabaran lakonan
“Bagi saya ia adalah lakonan semata-mata untuk menjayakan watak yang diberikan. Itu adalah amanah yang diberikan dan saya harus memberi komitmen yang baik untuk watak terbabit.
“Sekiranya wujud sebarang kontroversi ataupun ada yang berkata-kata terhadap babak yang saya lakonan selepas filem ini ditayangkan kelak, itu adalah sekadar penilaian penonton namun saya beranggapan yang saya sudah berjaya untuk melakonkan watak itu dengan baik,” katanya.
Marsha menganggap melakukan babak dirogol adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dalam memberikan aksi lakonan terbaik.
Satu lagi cabaran yang dihadapinya ialah keadaan cuaca di Cameron Highland yang sejuk. Kesejukan itu dirasakan seperti sampai ke tulang apabila penggambaran Tujuh dilakukan pada waktu malam.
Terus mencari peluang
Marsha terbabit dengan penggambaran filem Tujuh ketika sedang menunggu penayangan satu lagi filem yang dibintanginya iaitu Jwanita, Laga dan Qada.
Gadis kelahiran Tamparuli, Sabah ini juga berkata, pada masa sama dia turut merangka beberapa peluang lain apabila penggambaran membabitkan dirinya itu akan habis pada penghujung bulan ini.
“Saya kena bijak mencari peluang dan bukannya menunggu tawaran jatuh ke riba.
“Saya tidak boleh mengharapkan kepada populariti dan kontroversi walaupun ia mungkin membantu untuk menaikkan nama seseorang artis,” katanya.
Dia juga sedar tidak boleh mengharapkan kepada bidang nyanyian atau lakonan semata-mata sebaliknya mencari ruang lain seperti bidang pengacaraan.
Sekiranya ada peluang dan merasakan bersesuaian, tentu sekali peluang itu tidak dilepaskannya.
Single terbaru
“Sekarang juga saya sedang mempromosikan single terbaru Jujur Bilang Cinta yang juga ciptaan saya sepenuhnya. Lagu ini boleh dianggap sebagai luahan peribadi terhadap perasaan cinta yang mana saya ekspresi luahan itu menerusi lagu ini.
“Pada mulanya, saya mahu berikan lagu ini kepada penyanyi lain, tapi melihat kepada kekuatan lagu ini, saya yakin lagu ini mampu untuk melonjakkan nama saya kembali sebagai penyanyi dan jadikan lagu ini sebagai single terbaru.
“Lagu ini saya tidak tujukan kepada sesiapa saja sebaliknya sekadar luahan seni. Tapi saya berharap apabila peminat mendengar lagu ini, mereka boleh merasakan apa yang cuba untuk saya sampaikan,” kata bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga ini.
Sukar diterima penonton
Filem Tujuh yang giat menjalani penggambaran di Tanah Rata, Cameron Highland arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin turut menampilkan lakonan Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafril, Siti Saleha, Christina Suzanne dan Faizal Hussain terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.
“Dalam filem ini, saya membawakan watak sebagai Suri seorang gadis daripada suku kaum Temuan. Keluarga saya menjaga rumah banglo kepunyaan keluarga Sam, yang dilakonkan oleh Johan As’ari. Konflik bermula apabila Sam membawa kawan-kawannya ke rumah banglonya itu dan salah seorang daripada mereka merogol Suri.
“Suri bersumpah yang dia akan membalas dendam terhadap Sam dan rakan-rakannya menerusi mimpi sebelum terjun membunuh diri. Kemudiannya seorang demi seorang ditemui mati dibunuh dengan kejam kerana sumpahan Suri terbabit,” katanya.
Kata Marsha, dia tidak kisah untuk menjayakan salah satu babak besar yang membabitkan dirinya dirogol walaupun mungkin akan timbul kata-kata belakang suatu hari nanti apabila filem ini ditayangkan kelak.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakonkan babak terbabit kerana, ia adalah lakonan semata-mata. Sebelum penggambaran pengarah ada bertanyakan sama ada saya selesa atau tidak untuk membawa watak berkenaan.
“Tapi bagi saya ia adalah lakonan semata-mata untuk menjayakan watak yang diberikan. Itu adalah amanah yang diberikan dan saya harus memberi komitmen yang baik untuk watak itu," katanya.