Penyanyi dan pelakon,
Awie nampaknya sekali lagi
dikaitkan terlibat dalam kemalangan jalan raya, tetapi kali ini di
Phuket pula. Bagaimanapun Awie menafikan gosip yang tersebar itu dan
menegaskan, berita palsu itu sebagai fitnah yang dilakukan oleh pihak
tidak bertanggungjawab.
“Saya kini berada di Phuket, Thailand bagi bagi menjalani
penggambaran filem Bikers Kental 2. Saya masih lagi hidup dan berita
kononnya saya terbabit dengan kemalangan dan meninggal dunia adalah
palsu,” katanya kepada
Berita Harian Online menerusi sebuah video.
Semalam, Awie dikatakan terbabit dengan kemalangan jalan raya di
Phuket. Berita itu menjadi bualan ramai warga laman sosial sehingga
menjadi tanda tanya. Tetapi setelah video penjelasan dimuat naik,
rata-rata peminat memberikan respon positif dengan mendoakan
kesejahteraan Awie.
Sebelum ini dikhabarkan penyanyi vokalis kumpulan rock, Wings juga
pernah dilaporkan ‘meninggal dunia’ selepas dikatakan terbabit sekali
lagi kemalangan jalan raya di Lahad datu pada Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, individu yang menyebarkan khabar angin berkenaan
dipercayai adalah peminat fanatik Awie.