|
Foto hiasan |
KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut dipercayai terkena renjatan elektrik,
dalam kejadian di Taman Desa Baiduri, Cheras dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Suhana Mohamad, 30,
yang juga isteri seorang anggota polis di Bukit Aman, disahkan meninggal
dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (PPUKM). Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan
Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata semasa kejadian suami mangsa sedang
tidur sebelum menyedari isterinya terkena renjatan elektrik ketika
sedang bercakap menggunakan telefon bimbit berkenaan. "Mangsa kemudian
dikejarkan ke PPUKM untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal
dunia. "Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),"
katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi. Beliau berkata, jenazah
Suhana kemudian dibawa ke Masjid Bukit Aman untuk disembahyangkan
sebelum dibawa ke kampung halamannya di Felda Perasu, Gua Musang,
Kelantan untuk dikebumikan. Mangsa meninggalkan dua anak, seorang anak
lelaki dan perempuan berusia lima dan dua tahun. Laporan mengenai
kematian mangsa menjadi viral di laman media sosial selepas diberitakan
berpunca dari terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon
bimbit yang sedang dicas.