LONDON - Smartphone milik seorang remaja yang terbakar secara tiba-tiba
mencetuskan rasa panik penumpang pesawat Alaska Airlines, semasa dalam
penerbangan dari Bellingham, Washington ke Hawaii, Khamis lalu.
Menurut Anna Crail, 19, dia pada mulanya menyangka pesawat itu sedang
menjunam selepas api setinggi 8 inci mula marak dari iPhone 6 ketika dia
sedang menonton filem.
Panik dengan keadaan itu, dia serta merta menghempaskan iPhone 6 itu ke
lantai dan termasuk ke bawah tempat duduk penumpang yang lain.
Tindakan Anna itu mencetuskan suasana kelam-kabut dalam pesawat.
Mujur anak-anak kapal bertindak dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu.
Ketika kejadian itu berlaku, pesawat tersebut berada di tengah lautan, 90 minit sebelum sampai ke pulau Hawaii.
"Tidak pernah berasa begitu takut sepanjang hidup saya," kata Anna di Twitter.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian
itu. Pihak Alaska Airlines sedang menjalankan siasatan mengenal pasti
punca kebakaran dalam pesawat tersebut yang membawa 162 penumpang.
Sementara itu, pengeluar iPhone, Apple, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.