Siapalah kita hendak menghina paras rupa fizikal orang lain. Bukannya
mereka meminta dilahirkan sebegitu rupa. Sudah takdir menentukan begitu,
tidak wajar dihina ciptaan Allah seolah-olah diri itu terlalu sempurna
sehingga menghina orang lain.
Baru-baru ini, penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, memuat naik rasa
terkilannya dihina beberapa individu di laman Instagram yang mengata
hidungnya buruk dan disamakan dengan hidung babi. Pelawak dan pengacara,
Jihan Muse, tampil meluahkan rasa simpatinya pada isteri Shuib itu.
"Terbaca status Instagram Siti Sarah Raissuddin. Saya ingin mengucapkan
tahniah kepada beliau kerana dikurniakan kekuatan dan kekebalan yang
bukan senang nak diperolehi," katanya.
Menurut Jihan, beliau juga pernah berdepan dengan masalah yang sama
sejak dari kecil sehingga dirinya bergelar sebagai peserta Raja Lawak.
"Bukanlah Sarah seorang, malah ramai lagi termasuk saya yang turut
diejek kerana rupa dan fizikal dari kecil. Dulu semasa di sekolah, bukan
main sensitif. Tetapi usia mematangkan kita. Malah, kini saya
sangat-sangat bersyukur kerana dikurniakan fizikal sebegini dengan
rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya. Sesungguhnya
percaturan Allah itu Maha Adil dan melangkaui penilaian manusia.
"Jika 20 tahun yang lalu tiada seorang pun yang percaya wajah ini boleh
muncul di mana-mana televisyen. Sebab itu saya menasihatkan kepada
mereka yang berasa rendah diri dengan fizikal masing-masing, anda
sebenarnya sedang merendahkan diri sendiri kerana komen-komen orang
lain.
"Dan kalau anda melayan mereka, anda tidak akan melangkah jauh. Percaya
pada Allah, percaya pada rezeki, percaya pada diri. Jangan negatif.
Jihan Muse memakai pendakap gigi |
"Saya pun sudah lali dan saya bersyukur sebab selalu dikutuk dan diejek
gigi buruk, jongang dan sebagainya. Sebab itulah juga saya menjadi lebih
kuat, chill dan tak peduli apa yang orang kata kerana yang bercakap itu
biasanya tak buat apa-apa selain bercakap.
"Buat lawak, bahan membahan itu tak ada hal pun, kita pun sama bahan
orang. Tetapi hat yang tak kenal itu, siap menghina tahap dewa macam
member lama, itu yang takleh blah," katanya.
Namun begitu, difahamkan Jihan telah mengambil inisiatif membetulkan
giginya dengan memakai pendakap gigi. Dan kini Jihan kelihatan lebih
yakin dengan penampilan dirinya.