Susulan tersebarnya gambar di media sosial gambar lelaki bersama isteri
dan anaknya yang didakwa mencuri sebuah telefon pintar jenama HTC
semalam, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis dan menafikan
dakwaan pemilik telefon berkenaan.
"Pada 3 April 2016 jam 10.45 pagi, semasa saya berada di rumah, saya
telah membuka laman Facebook seorang lelaki Melayu, Muhammad Firdaus,
yang mana telah menuduh saya mencuri telefon bimbitnya pada 2 April
2016, jam 5.30 petang.
"Semasa saya berada di Setapak Central, seorang lelaki warganegara
Bangladesh telah menyerahkan telefon bimbit tersebut kepada saya tetapi
saya tidak tahu siapa pemiliknya.
"Saya cuba membuka screen telefon bimbit tersebut tetapi gagal selepas
percubaan selama 5 kali. Telefon tersebut terus lock dan tidak dapat
menjawab panggilan.
"Saya cuba bekerjasama dengan beliau (pemilik) mengenai hal ini tetapi
beliau mendiamkan diri. Sehingga sekarang telefon bimbitnya masih berada
di tangan saya. Jika pemilik mahu telefonnya kembali, saya meminta
beliau berhubung dengan saya untuk menyelesaikan masalah ini dan menutup
semula fitnah yang ditulisnya di laman Facebook," katanya yang membuat
laporan polis bagi menafikan dakwaan mencuri telefon Firdaus.
Dalam status terkini Muhammad Firdaus menyatakan bahawa masalah itu
telah diselesaikan dan mengaku bahawa dia hanya salah faham sahaja.